Mengarang merupakan proses menghasilkan bahan yang berbentuk idea, pendapat pengalaman, perasaan dan maklumat dalam bentuk tulisan yang berhubung dengan diri sendiri, orang lain atau peristiwa. Menurut Raminah Sabran (1985), penulisan ialah penglahiran perasaan, fikiran dan idea ke dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik ini disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya. Dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) selain perkataan ‘mengarang’, istilah yang digunakan untuk merujuk aktiviti menulis tahap tinggi ialah menyurat, disurat atau persuratan. Ketiga-tiga kosa kata ini banyak digunakan dalam kitab-kitab Melayu klasik berbanding perkataan mengarang. Pada zaman sebelum penjajahan, tulisan Jawi yang berasal daripada abjad Arab digunakan secara meluas dalam semua jenis penulisan karangan. Manakala tulisan Rumi (Romawi) yang berasaskan huruf-huruf Yunani diperkenalkan oleh penjajah dan terus digunapakai sehingga hari ini.
Pengarang merupakan individu yang menyusun gagasan-gagasan dan mahu ideanya disebarluaskan kepada pembaca melalui wahana-wahana tertentu seperti buku, majalah, media dan sebagainya. Selain itu, pengarang terbahagi kepada dua golongan, iaitu pengarang profesional dan pengarang yang amatur. Pengarang profesional ialah mereka yang kerjaya utamanya menulis. Mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti penulisan manakala pengarang yang bertaraf amatur ialah mereka yang menulis sebagai aktiviti sampingan, hobi ataupun kerana minat sematamata. Contoh pengarang profesional ialah mereka yang bertugas sebagai wartawan atau novelis.
Menurut Anwar al-Jundi, seorang pengarang terkenal kelahiran Mesir, tujuan utama mengarang ialah :
i. menulis sesuatu yang baharu
ii. memperbaiki sesuatu yang kurang
iii. mengemaskini sesuatu yang terpisah
iv. memudahkan sesuatu yang rumit
v. membetulkan sesuatu yang salah
vi. mempertahankan diri dan keluarga
vii. menjawab tuduhan musuh
Selain sebab-sebab yang telah dinyatakan, tujuan penulisan pada peringkat pengajian tinggi adalah untuk menyampaikan maklumat, menjelaskan sesuatu idea dan menyatakan hujah. Ketiga-tiga tujuan ini merupakan teras dalam semua bentuk genre dalam penulisan. Paling utama sesuatu teks ditulis adalah untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak pembaca. Jika penulis teks ialah pelajar maka teks yang ditulis adalah untuk penyelia, rakan-rakan atau sesiapa yang berminat tentang topik yang ditulis itu.
Bagi pembaca pula, mereka tidak sekadar membaca, memaham dan mengguna mana-mana fakta dan data secara langsung yang terdapat dalam sesuatu teks, tetapi perlu bersikap kritis dan analitis terhadap teks yang dibacanya. Dalam sebahagian kes, pembaca mudah terpengaruh dengan sesuatu penulisan dengan menerima bulat-bulat akan maklumat dalam sesuatu teks tanpa merujuk dan membandingkan daripada sumber-sumber yang lain.
A s a s M e n g a r a n g | 4
Hal inilah yang wajar diperhatikan oleh pengarang kerana sebarang kesilapan maklumat yang mereka catatkan akan memberi kesan kepada pembaca. Paling penting bagi pembaca adalah apa yang dibacanya dapat dicerna sebagai ilmu dan hikmah yang amat berguna untuk pembangunan insaniah. Dalam menjelaskan konsep dan pengertian ilmu, Syed Muhamad Naquib al-Attas dalam Syed Muhamad Dawilah (1993) menyatakan:
"merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu."
Ketibaan makna yang dimaksudkan di atas ialah perubahan diri, minda dan jiwa seseorang daripada negatif kepada positif, daripada minda kerdil kepada minda berwawasan sehingga akhirnya ilmu dapat membentuk sifat, watak dan perwatakannya menjadi manusia yang berakhlak serta faham matlamat kejadian manusia dan landasan hidup yang harus ditujui. Ilmu yang tidak disertai dengan ketibaan makna akan mendorong pemujaan kepada nilai meterialistik dan memenuhi kehendak hawa nafsu.
Penggolongan Karangan
Terdapat dua kategori utama karangan. Pertama, karangan yang bertujuan memberi informasi sesuai dengan fakta disebut sebagai karangan faktawi atau factual writing (John Riebel, 1978). Contohnya berita, rencana, iklan, jurnal dan sebagainya.
Manakala karangan yang bertujuan memberi hiburan kepada pembaca; bersifat khayali, imaginasi, lamunan atau fantasi dikategorikan sebagai karangan imaginasi atau imaginative writing. Contohnya novel, cerpen dan segala yang berkaitan dengan kesusasteraan.
Tahap-Tahap Penulisan
Terdapat beberapa tahap yang perlu dilalui oleh seseorang penulis dalam menghasilkan karyanya. Secara umum, proses penulisan bermula dengan pemilihan tajuk atau bidang tajuk, dan diikuti dengan pengumpulan maklumat yang berkaitan dengan tajuk karangan yang mudah ditulis. Seterusnya, seseorang penulis perlu pula membentuk kerangka kasar, mengembangkan fakta, menyunting, menyediakan ilustrasi dan menulis draf akhir. Menurut Awang Sariyan (1992: 5), terdapat dua tahap dalam proses penulisan iaitu:
1. Tahap Persiapan. Pada tahap ini, penulis akan memperlengkap diri dan memberi perhatian kepada aspek-aspek yang berikut, iaitu:
i. mempersiap minda (mental/psikologi)
ii. mengenal pasti bidang
iii. menentukan skop/tumpuan
iv. menentukan sasaran/khalayak
v. memperoleh maklumat
2. Tahap Penyusunan. Pada tahap ini, penulis akan membuat perancangan yang melibatkan:
i. menyusun/mengatur rangka isi
ii. mengembangkan isi/fakta dan pemerengganan
iii. menjalinkan isi
iv. menatakan format
v. mengedit bahasa
vi. penerbitan