Perenggan ditakrifkan oleh Kamus Dewan (1994) sebagai bahagian daripada muka atau bab dalam buku, rencana yang terdiri daripada beberapa baris dan pragraf. Perenggan merupakan unit karangan yang mengandungi beberapa ayat, yang antara satu dengan lainnya mempunyai hubungan dari segi makna dan tatabahasa. Manakala Fowler (1970) menyatakan perenggan ialah sebuah kotak kecil ayat-ayat yang membina bentuk dan pada masa yang sama juga berfungsi sebagai sebahagian daripada keseluruhan penulisan. Ringkasnya, perenggan merupakan sekelompok karangan yang pendek mengandungi struktur ayat yang bervariasi.
Pemerengganan penting dalam menyampaikan idea yang konkrit dan tersusun. Perenggan yang bermutu ialah perenggan yang mengandungi idea yang jelas, maklumat yang mencukupi dan rangkuman ayat yang gramatis dan mudah difahami. Selain itu, sebuah perenggan yang berkesan ialah perengan yang dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Jika tugas perenggan itu adalah untuk memperkembangkan kenyataan maka setiap ayat yang terkandung di dalamnya hendaklah merupakan peluasan dan rujukan kepada kenyataan tersebut. Pembaca hendak merasakan bahawa semua ayat yang dibina dalam perenggan itu merupakan perkembangan yang berkesan kepada kenyataan yang dikemukakan. Seorang pengarang yang mahir mampu menyusun sebuah perenggan dengan kaedah penulisan yang sistematik. Perenggan terbahagi kepada dua iaitu perenggan utma dan perenggan khusus.
Perenggan Utama berdasarkan fungsinya dalam karangan, struktur perenggan utama dapat dijeniskan kepada tiga bentuk iaitu:
i. Perenggan pengenalan
Perenggan pengenalan mempunyai fungsi tarikan yang penting kerana ia akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak. Selain itu perenggan pengenalan mesti menggambarkan tajuk karangan dan pernyataan penulis tentang tujuan penulisannya. Pengenalan yang menarik akan mengundang minat pembaca untuk menelaah karangan sehingga tamat. Isi perenggan pemulaan bertujuan mengutarakan aspek pokok perbincangan dan memberi latar belakang penting tentang tajuk yang ditulis. Manakala pengenalan yang lemah dan membosankan akan memudarkan minat pembaca dan sekali gus menunjukkan kegagalan seseorang pengarang.
Dalam proses melakukan perenggan pengenalan, pengarang boleh menggunakan pelbagai teknik. Antaranya kutipan, peribahasa, anekdot dan pendapat atau pernyataan seseorang tokoh . Begitu juga dengan menyatakan maksud dan tujuan penulisan, mengemukakan pertanyaan dan catatan pengalaman peribadi juga merupakan teknik perenggan pengenalan.
ii. Perenggan pengembang. Perenggan pengembang bertujuan menjelaskan pokok perbincangan yang sebelumnya telah dinyatakan dalam perenggan permulaan. Perenggan pengembang berfungsi sebagai:
i. mengemukakan inti persoalan
ii. memberi ilustrasi dan contoh
iii. menjelaskan hal yang akan dibicarakan pada perenggan berikutnya
iv. meringkas atau mengejapkan isi perenggan sebelumnya
v. mempersiapkan dasar atau landasan bagi kesimpulan
Sehubungan peranan tersebut, perenggan pengembang yang bermutu harus mengandungi ciri-ciri berikut, iaitu:
i. Ayat topik yang berkait langsung dengan pernyataan tesis (ayat tesis).
ii. Mengandungi bukti yang sahih seperti fakta, contoh, deskripsi fizikal dan pengalaman sendiri.
iii. Menggandingkan maklumat lama dan maklumat baharu.
iv. Mengandungi ayat penyangga yang memberi penerangan dan gambaran tentang ayat topik dalam sesebuah perenggan.
v. Mengandungi kesinambungan idea antara perenggan dengan perenggan dan ayat dengan ayat.
iii. Perenggan penutup
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana fungsinya menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja. Selain itu perenggan penutup merupakan kesimpulan bagi seluruh isi karangan. Perenggan ini juga merupakan pernyataan kembali maksud penulis dengan tujuan mengejapkan kefahaman pembaca. Begitupun, sebagai perenggan terakhir, seharusnya struktur perenggan penutup mematuhi ciri-ciri berikut:
i. Mestilah berkait langsung dengan pernyataan tesis.
ii. Pernyataannya dapat mencerminkan keseluruhan isi utama.
iii. Mengandungi kesimpulan daripada suatu penyelesaian, ramalan dan cadangan (jika berkaitan).
iv. Memberi nilai ‘judgement ’ oleh penulis agar pembaca merasa puas hati terhadap hujah-hujah pengarang.
Manakala perenggan khusus merujuk kepada kepelbagaian teknik yang digunakan oleh pengarang dalam menghasilkan karya.Antara teknik yang digunakan ialah teknik penyenaraian, teknik percontohan, teknik perbandingan, teknik pengelasan, teknik soalan-jawapan dan sebagainya. Banyak teknik yang boleh digunakan oleh pengarang bagi menarik perhatian pembaca.